Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, tidak pernah mendengar mengenai khabar angin itu termasuk kononnya akan berlaku rombakan Kabinet sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Tidak. Saya tak tahu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini terdapat khabar angin yang mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan melakukan rombakan Kabinet sebelum Jun ini.

Pada 25 Mac lalu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kecewa dengan prestasi kerajaannya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu sebagai membalas kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang kecewa dengan PH yang gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menegaskan, banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan PH selepas menerima mandat daripada rakyat, 9 Mei tahun lalu.

“Sembilan bulan, kita telah turun ke bawah untuk bekerjasama dan berbincang dengan pemegang amanah.

“Insya-Allah, kita akan melakukan terbaik dalam menunaikan janji kepada rakyat. Itu yang kita perlu fokus,” katanya. - UTUSAN ONLINE