Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, berlian itu telah disahkan dibawa masuk oleh ejen, namun dibawa keluar secara sah, mengikut perundangan negara.

“Bagi kes berprofil tinggi yang Bukit Bendera maksudkan, saya ingat sudah dijawab oleh Menteri Kewangan dari tahun lepas bahawa ia dibawa masuk oleh ejen. Ejen telah ikrar bawa masuk, kemudian ada pengikraran benda yang sama dibawa keluar.

“Jadi, tidak berlaku pembelian setelah dibawa oleh ejen ini. Tetapi saya ingat, kita sempatlah tengok ‘pink diamond’ semua tu. Tetapi kemudiannya dibawa keluar balik dari Malaysia,” katanya sewaktu menjawab celahan Wong Hon Wai ( PH- Bukit Bendera) ketika menggulung peringkat dasar Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Hon Wai bertanyakan sama ada berlian merah jambu yang dibawa masuk ke negara ini dikenakan duti kastam atau duti eksais.

Tambah Amiruddin, untuk makluman secara amnya, barang kemas tidak dikenakan duti kastam dan eksais.

Jadi, katanya, apabila barang kemas itu dibawa masuk ke Malaysia, tiada keperluan untuk ikrar dalam borang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) jika dibawa sendiri oleh penumpang, apatah lagi dalam bagasinya sendiri.

“Kalau dia nak bawa masuk, dia pakai, macam mami jarum apa semua tu, ia tidak perlu (ikrar borang JKDM), kecuali diimport melalui kargo. Itu perlu buat pengiystiharan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE