Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, peraturan baharu tersebut sedang diperhalusi untuk dimasukkan di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara.

Kata beliau, langkah itu bertujuan memastikan hanya golongan tidak berkemampuan menetap di rumah mampu milik dan bukannya mereka yang tidak berkelayakan.

“Kalau rumah mampu milik itu dibina tahun ini akan siap dalam tempoh tiga setengah tahun, minta pemilik yang ingin menjualnya supaya kembalikan kepada kementerian.

“Sebab kita buat peraturan baharu ini untuk mengawal pembelian, pemilikan dan harga rumah mampu milik kepada golongan yang tidak berkemampuan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum itu semasa menjawab Perbahasan Titah Diraja kementeriannya, Zuraida berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengadakan perbincangan dengan Majlis Peguam sekiranya boleh mengecualikan kos guaman kepada kumpulan berpendapatan rendah untuk membeli rumah.

Beliau menjawab demikian memandangkan masalah kos guaman yang tinggi itu ditimbulkan semasa perbahasan Titah Diraja.-UTUSAN ONLINE