Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mendedahkan kes tersebut.

“Suhakam akan mengemukakan laporan yang mereka telah siapkan secara rasmi kepada kami dan kebiasaannya ia akan diserahkan juga kepada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila laporan itu diterima, kita boleh buka semula kes kalau diizinkan oleh pihak pendakwa raya kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa dan persetujuan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan akan menubuhkan RCI susulan pendedahan Suhakam yang mendakwa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.

Pada 13 Februari 2017, Raymond, 62, didakwa telah dilarikan sekumpulan lelaki di Jalan SS4b/10, Petaling Jaya, Selangor.

Sebelum itu, Amri dilaporkan hilang di Padang Besar, Perlis pada 24 November 2016. - UTUSAN ONLINE