Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Prokhas mengendalikan beberapa perkara lain kerana mereka merupakan golongan profesional, justeru sama sekali tidak timbul pertikaian berkaitan isu bangsa atau agama.

“Salah sama sekali jika menuduh Prokhas menguruskan Tabung Haji, bukan macam itu. Prokhas hanya menguruskan aset yang tidak menguntungkan itu.

“CEO (Tabung Haji) masih lagi Datuk Seri Zukri Samat, Pengerusi masih lagi Tan Sri (ketika ini adalah Tan Sri Mohammed Nor Md. Yusof). Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab atas segala urusan dalam Tabung Haji, bukannya Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) atau Prokhas,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Parit Buntar berkenaan berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas Sdn. Bhd., Chen Yin Peng tidak menguruskan aset dan harta Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), sebaliknya harta itu diuruskan oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (Urusharta).

Kata beliau, isu Tabung Haji sengaja dimainkan oleh pihak-pihak yang bersikap rasis seolah-olah institusi yang mengendalikan urusan ibadah haji itu diuruskan oleh orang Cina.

“Perkara ini tidak masuk akal, sebagai rakyat Malaysia, kami tak boleh terima. Kami dalam usaha selamatkan RM9.7 juta wang pendeposit iaitu milik orang Islam dan sudah tentu kepentingan Tabung Haji menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim berkata, pelantikan Yin Peng itu bagaimanapun tidak mengikut Akta 535 Pasal 6(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada seorang pun boleh dilantik menjadi anggota lembaga melainkan jika dia seorang Muslim dan warganegara Malaysia.

“Ini yang tak jelas oleh menteri, kenapa lantik Prokhas Sdn. Bhd. sedangkan ada kepakaran dalam SPV. Kita bukan anti bukan Islam atau rasis, tapi rujuk pada Perlembagaan Persekutuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE