NOH OMAR

Ketika menjawab persoalan semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2018 (2019), Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagaimanapun menjelaskan beberapa keperluan pen­ting termasuk tanggungan luar belanjawan (off-balance sheet) yang ditinggalkan kerajaan sebelum ini.

Selain itu, pembangkang mendakwa bukan sahaja rakyat telah dianiaya, malah mereka sendiri turut berdepan nasib sama dalam soal peruntukan kepada Parlimen.

Pembangkang menyoal mengapa peruntukan berbeza kepada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dilaporkan menerima RM1.8 juta melalui peruntukan khas dan urusan pusat khidmat rakyat, sedangkan pembangkang menerima RM100,000 sahaja.

Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) dan beberapa ahli pembangkang menimbulkan perkara itu memandangkan manifesto PH yang mahu memperkasakan institusi Parlimen demi membolehkan ahli Dewan Rakyat menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing.

“Tetapi janji mesti ditunai. Sebab itu bila orang kata kerajaan PH, kerajaan pakatan hancing,” katanya.

Penyokong kerajaan cuba mempertahankan pembahagian peruntukan tersebut dengan meminta pandangan adakah kawasan Parlimen pembangkang bermakna pengundi tidak percaya Manifesto PH.

Noh menjawab perkara tersebut tidak timbul kera­na manifesto tidak membezakan peruntukan kepada pembangkang.

“Jadi kami me­nuntut hak kami. Yang kena ‘kencing’ bukan sahaja rakyat, kami ahli Parlimen pun kena ‘kencing’,” katanya.

Desakan itu mendapat perhatian Has­san Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mahu isu itu diselesaikan secara adil.

“Saya rasa kita kena ambil serius perkara ini. Bukan sahaja soal janji dalam manifesto tetapi bawah Perlembagaan Persekutuan juga iaitu mesti bersikap adil.

“Jadi saya rasa pohon kepada kerajaan, timbang peruntukan yang adil kepada semua ahli Parlimen,” katanya.