Atas sebab itu, Najib memaklumkan beliau sedang mengumpulkan bukti supaya jumlah tuntutan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu boleh dipertimbangkan semula.

“Kita akan minta kaji dan akan cari cara spesifik mengikut proses sebab pengiraan asas, definisi pendapatan yang dikira itu sangat menimbulkan tanda tanya.

“Ia sedang disediakan, kami fikir ia tidak adil, kami akan cari macam mana yang boleh dibuat mengikut proses,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, dilaporkan LHDN meminta Ahli Parlimen Pekan itu membayar cukai seba­nyak RM1.5 bilion melalui surat yang dihantar kepadanya kira-kira seminggu lalu.

The Edge Markets melaporkan bahawa bil untuk tempoh 2011 hingga 2017 itu merupakan jumlah lain daripada cukai pendapatan yang sudah dibayar Najib itu selama tujuh tahun.

Menurut sumber, siasatan LHDN mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh itu, termasuk RM2.6 bilion dalam akaun peribadi­nya sebelum ini yang didakwa berpunca daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).