Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, Ismail akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan kerana ketika pelaksanaan kontrak tersebut beliau merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

“Kita juga akan memanggil syarikat yang terlibat dalam kontrak tersebut dan selepas semua saksi dipanggil kita akan mengemas kini.

“Hari ini, kita telah mendapatkan maklumat daripada bekas Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan berpuas hati dengan keterangan yang beliau buat,” katanya kepada pemberita di luar Bilik Jawatankuasa 1, Parlimen, hari ini.

Tambah Ronald, pihaknya juga tidak akan memanggil semula Tiong Lai yang juga bekas Ahli Parlimen Bentong berhubung kes itu selepas ini.

Menerusi laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dibentangkan di Parlimen 3 Disember lalu, terdapat peningkatan drastik dalam perbe­lanjaan operasi pelaksanaan sistem yang bernilai RM149.45 juta itu.

Bagaimanapun, didapati kontraktor yang dilantik itu hanya mempunyai RM35.54 di dalam akaun dan bukan­nya RM2.3 juta seperti yang diperlukan.

Dalam perkembangan lain, Ronald memberitahu, PAC telah kemuka surat kepada Parlimen untuk menyiasat beberapa kes lain di bawah Kementerian Wilayah, Kementerian Pertahanan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

“Selain kes VEP, PAC juga sedang menyiasat kes wang tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang hampir selesai,” katanya. - UTUSAN ONLINE