Katanya, keputusan itu diambil setelah berbincang dengan Ketua Whip kerajaan, Datuk Johari Abdul dan mendapat kelulusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

“Alhamdulillah. Struktur jawatankuasa PAC yang membolehkan semak imbang berlangsung, adalah amat penting buat kepentingan negara. Saya bersetuju menganggotai PAC semula setelah berbincang dengan Ketua Whip dan mendapat kelulusan Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat),” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Nurul Izzah dilaporkan meletakkan jawatan sebagai ahli PAC pada 22 Mac lalu dan dikatakan membuat keputusan berkenaan disebabkan tidak berpuas hati dengan pemilihan kepemimpinan PAC.

Hal ini berlaku selepas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parit Sulong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Noraini Ahmad sah menggantikan Ronald sebagai Pengerusi PAC.

Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Nurul Izzah, beliau berharap agenda reformasi sentiasa menjadi keutamaan dalam kerajaan untuk memberikan khidmat demi rakyat dan negara. - UTUSAN ONLINE