Perdana Menteri berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyedari terdapat beberapa masalah dalam institusi kewangan Islam itu namun tidak begitu jelas mengenainya.

Jelas Pengerusi PH itu, penjelasan mengenai masalah Tabung Haji akan dibentang dan dibahaskan dalam sidang Parlimen.

“Kita belum selesai masalah Tabung Haji, waktu ini kita tahu ada masalah tapi secara terperinci kita belum dapat maklumat.

“Kita perlu tahu secara terperinci apa yang berlaku dalam Tabung Haji,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai desakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semalam supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala dakwaan dan salah laku yang berlaku di dalam pengurusan Tabung Haji.

Desakan itu dikemukakan susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengenai hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus yang juga agihan terendah dalam sejarah. 

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, tiada sebarang keperluan untuk menubuhkan RCI Tabung Haji kerana kelemahan yang berlaku dalam institusi kewangan Islam itu amat jelas.

“RCI ini perlu dibuat jika ada perkara yang tak jelas dan banyak perkara misteri dalam Tabung Haji. Tapi tiada yang misteri.

“Ini satu benda yang jelas, kerana itu kerajaan memberikan komitmen memulihkan Tabung Haji menerusi peruntukan RM17.8 bilion, jadi apa gunanya ditubuhkan RCI,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen. - UTUSAN ONLINE