Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, hal ini kerana wang cukai yang dikutip akan digunakan untuk melaksanakan aktiviti pembangunan untuk negara dan rakyat.

Atas sebab itu, Mohamaddin yang Ahli Parlimen Silam berkata, industri pelancongan tidak terjejas sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 lulus dan dikuatkuasakan 1 Jun ini.

“Kalau kita nak banyak pelancong datang tapi tak nak cukai, sebab nak pelancong datang, rugilah kita. Duit itu untuk pembangunan negara dan rakyat.

“Sebab itu, saya fikir levi pelepasan itu tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke negara ini sebab semua negara telah melaksanakan cukai yang hampir sama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah membacakan usul RUU Levi Pelepasan 2019 kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat.

“Kadar levi yang dicadangkan RM20 jika menuju ke negara Asean dan RM40 jika ke negara lain. Levi ini tambahan kepada caj perkhidmatan penumpang sebanyak RM73 yang dikenakan oleh lapangan terbang,” katanya. - UTUSAN ONLINE