Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pindaan itu bagaimanapun tidak akan mengubah fungsi kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri di bawah konsep federalisme.

Beliau malah memberitahu, menerusi pindaan itu juga, frasa negeri-negeri Borneo akan dikeluarkan daripada Perlembagaan Persekutuan dan akan digantikan dengan Sabah dan Sarawak seperti mana pindaan 1976.

“Pindaan ini juga adalah selaras dengan ucapan yang telah saya sampaikan semasa sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2018 yang lalu di mana semasa pembentukan Malaysia yang termeterai secara rasmi pada 16 September 1963 dalam MA63, keempat-empat wilayah ini bergabung sebagai equal partners atau rakan yang seangkatan, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

“Walau bagaimanapun, Singapura telah keluar Malaysia pada tahun 1965. Tahun-tahun berikutnya telah juga menukar status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri-negeri di dalam Malaysia,” katanya sewaktu membuat bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, Malaysia baharu dan kerajaan Pakatan Harapan mengambil maklum mengenai perkara ini dan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, ini adalah sebahagian dari proses yang akan dilaksana setelah kajian MA63 disiapkan dan ini merupakan langkah pertama yang dilaksanakan dalam hal ini. - UTUSAN ONLINE