Ketika memberikan soalan itu kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) bertanya mengapa kerajaan komited terhadap pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) namun bantuan kepada peserta Felcra diabaikan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin bagaimanapun menjawab, bermula bulan Ogos 2018, Felcra telah mengambil langkah menangguhkan sementara pinjaman sara hidup kepada peserta-peserta disebabkan oleh kedudukan semasa kewangan syarikat yang lemah.

"Ini adalah ekoran kejatuhan harga komoditi dan cabaran isu legasi yang diwarisi daripada pengurusan terdahulu.

"Kami juga amat memahami keperluan peserta. Felcra sedang lakukan yang terbaik agar pembayaran ini boleh dibuat segera," katanya.

Mungkin 'panas' apabila projek KXP disebut oleh pembangkang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) mencelah bertanyakan soalan tambahan mengapa Felcra mengalami masalah kewangan dan kesan pembinaan Menara Felcra di Jalan Semarak, di sini.

"Bila kita bercakap projek di Jalan Semarak. Itu bukan matlamat asal Felcra, itulah menjadi satu daripada punca kekangan keewangan kerana keeqangan perlu dialihkan untuk projek tersebut," jawab Mohd. Radzi.

Tajuddin yang pernah menjadi Pengerusi Felcra bagaimanapun menjelaskan projek pembinaan menara Felcra itu bukan semasa pentadbirannya.-UTUSAN ONLINE