Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin menegaskan kerajaan akan tetap meneruskan hasrat untuk memansuhkan akta berkenaan kerana menyifatkan negara sudah mempunyai undang-undang mencukupi bagi memantau penyebaran berita palsu.

Jelas beliau, walaupun akan dimansuhkan, namun perkara tersebut tidak bermakna kerajaan akan mengamalkan sikap toleransi terhadap penyebaran berita tidak benar termasuk penghinaan kepada Nabi Muhammad S.A.W, mana-mana agama atau institusi diraja.

"Secara teknikal, sehingga pemansuhan akta tersebut, dari segi perundangan Akta 803 masih boleh dikuatkuasakan, namun memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendukung prinsip 'rule of law' jadi tiada mana-mana siasatan jauh sekali pendakwaan dilakukan ke atas mana-mana individu.

"Namun begitu, terdapat siasatan dan pendakwaan dilakukan terhadap pihak-pihak tertentu terhadap jenayah penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W, agama dan raja-raja sama ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan di bawah Kanun Keseksaan," katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) yang menanyakan berapa ramai individu yang telah dikenakan tindakan mengikut Akta AntiBerita Tidak Benar termasuk yang mengeluarkan kata-kata menghina raja dan menyentuh sensitiviti agama dan bangsa. - UTUSAN ONLINE