Ketika sesi Perbahasan Titah Diraja Kementerian Hal Ehwal Ekonomi semasa sidang Dewan Rakyat di sini hari ini, pembangkang mempertikaikan rasional pembinaan KXP yang dianggarkan bernilai RM1.6 bilion, memandangkan sudah terdapat beberapa lapangan terbang berdekatan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menyoal rasionalnya pembinaan lapangan terbang tersebut kerana Kedah sudah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

"Maknanya (akan) ada tiga lapangan terbang di Kedah iaitu di Alor Setar, Langkawi dan Kulim. Manakala Pulau Pinang dengan Kulim kedudukannya sangat dekat.

"Apakah rasionalnya wujudkan satu lagi lapangan terbang antarabangsa?" soal Ismail Sabri.

Bagaimanapun Mohd. Radzi menjelaskan terdapat beberapa contoh di mana lapangan dibina dalam jarak berdekatan dengan merujuk kedudukan lapangan terbang di Sydney.

Namun penjelasan itu gagal memuaskan hati pembangkang kerana menganggap tidak sesuai membandingkan antara bandar utama Australia itu dengan Kulim kerana mempunyai tahap pembangunan yang berbeza.

"Mana boleh banding Kulim dengan Sydney. Apa hasil Kedah pun? padi sahaja," menurut suara daripada blok pembangkang.

Mohd. Radzi bagaimanapun menjelaskan pembinaan lapangan terbang tersebut adalah sebagai usaha kerajaan menyediakan infrastruktur untuk memangkin pembangunan ekonomi di kawasan Kulim dan sekitarnya.-UTUSAN ONLINE