Beliau berkata ia bagi menjaga kelestarian kawasan berkenaan.

"Secara prinsipnya, kita telah membuat keputusan itu dalam proses kita mempertimbangkan untuk mengkaji semula penambahbaikan perintah untuk EIA," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan meluluskan pembangunan di tapak Ramsar Sungai Pulai, Johor seperti yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setakat ini, katanya, Malaysia mempunyai tujuh tapak Ramsar iaitu di Tasik Bera, Pahang; Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor, Taman Wetland Kuching Nasional di Sarawak serta Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetland di Sabah.

Dalam pada itu, Yeo berkata sebanyak 38 aktiviti pembangunan memerlukan EIA dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar sebelum projek boleh dimulakan, antaranya pembinaan talian pemancar, pembinaan jalan terowong dan jambatan, pembinaan tasik buatan manusia serta penebusgunaan kawasan pantai di kawasan sensitif alam sekitar.

"Dalam hubungan ini, aktiviti pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar dikawal melalui bukan sahaja kaedah penguatkuasaan dan pemantauan, malahan melalui pendekatan elemen perancangan pencegahan serta melalui proses EIA," katanya menjawab soalan asal Wong mengenai usaha kementerian memastikan kawasan alam sekitar yang sensitif sentiasa dipelihara.

Beliau berkata pemaju projek hendaklah mengambil langkah pencegahan dan kawalan pencemaran yang berkesan seperti yang ditetapkan dalam syarat-syarat kelulusan dalam EIA untuk memastikan tiada ancaman terhadap ekosistem semasa perlaksanaan projek.

"Sekiranya kerosakan ataupun pencemaran berlaku semasa pembangunan projek, pemaju projek adalah terdedah kepada tindakan perundangan mengikut Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling serta perlu menanggung segala kos yang melibatkan kerja-kerja rehabilitasi bagi kawasan itu," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga komited untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka yang melanggari akta berkaitan alam sekitar. - BERNAMA