Maka, Ahli Parlimen Batang Sadong, DATUK SERI NANCY SHUKRI menegaskan tidak adil untuk manamana menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) menuduh dan meletakkan kegagalan tersebut berpunca daripada GPS.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tampil menjelaskan punca utama keengganan beliau dan rakan-rakannya yang lain menolak RUU tersebut kepada wartawan Utusan Malaysia,

 

FARHANA JONI.

UTUSAN: Beberapa menteri Kabinet PH menyalahkan GPS kerana RUU itu tidak lulus, apa pandangan Datuk Seri?

NANCY: Sekali lagi saya ingin ulang kepada menteri yang bertanggungjawab bahawa wakil-wakil rakyat GPS telah mengingatkannya supaya tunggu perbincangan Perjanjian Malaysia 1963 dimuktamadkan terlebih dahulu. Kami bukan bodoh hendak setuju pada perkara yang tidak jelas. Beliau perlu ingat, pindaan yang hanya di­letakkan pada bahagian huraian bukanlah undang-undang.

Difahamkan menteri PH yang bertanggungjawab ada menjemput beberapa Ahli Parlimen GPS untuk membincangkan mengenai pindaan tersebut.

Ya, memang beliau ada menjemput kami makan tengah hari dan malam bagi membincangkan pindaan itu, tapi kami menolak kerana hal berkaitan undang-undang tidak boleh dibincangkan sehari dua sebaliknya ia perlu melalui penelitian sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan oleh golongan pakar kerana akta-akta yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan saling berkait.

Kami tidaklah ‘semurah’ itu untuk bersetuju, lebih-lebih lagi RUU itu untuk kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

Apakah sebenarnya sebab GPS tidak sokong RUU ini?

Kami sokong tapi bersyarat. Sejujurnya kami pun mengharapkan RUU ini sebab sampai bila nak tunggu, bukan senang hendak pinda Perlembagaan Persekutuan. Kita pun nak rebut peluang dua pertiga juga, tapi kalau tak setuju dengan kita, sekurang-kurangnya masukkan pindaan yang kita hendak, tapi menteri PH tak dengar juga.

Kita hendak ia diperhalusi supaya peluang Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam Malaysia dapat duduk bersama. Kalau pinda Artikel 1(2), seharusnya Artikel 160 juga dipinda kerana ia melibatkan definisi Persekutuan.

Apa kesannya terhadap Sabah dan Sarawak apabila RUU ini gagal?

Pinda tak pinda, sama sahaja sebab sekarang semua perkara pun Sabah dan Sarawak boleh tuntut, sama juga dengan negeri-negeri lain bahkan dua negeri ini memiliki keistimewaan melebihi negeri lain di Semenanjung. Negeri mana yang mempunyai Kabinet menteri? Ketua Polis Negeri? Menteri penuh dan kementerian seperti di Persekutuan? Mahkamah tinggi di sini, Sabah dan Sarawak pun ada mahkamah tinggi.

Apa yang lebih utama dan menjadi tuntutan kami adalah setiap dollar and sen, antaranya tuntutan supaya Artikel 112 D seperti geran khas untuk Sabah dan Sarawak dikaji semula. Ini kerana sejak tahun 1969, ia tak pernah dikaji dan mungkin RM1 trilion hutang Persekutuan dengan Sarawak. Selain itu, kami juga ingin kebenaran mencari sumber-sumber yang boleh menjana pendapatan negeri.

Apa komen Datuk Seri apabila ada yang mendakwa GPS sengaja memalukan Perdana Menteri?

GPS berapa orang? Tanyalah GPS berapa ramai? Kita 19 sahaja dan mana kami tahu Pas dan UMNO hendak bersama dengan kita sebab risiko itu kami ambil sendiri.

Individu yang memalukan Perdana Menteri sebenarnya menteri bertanggungjawab pada undang-undang itu sebab tak beritahu Perdana Menteri. Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya pecat menteri berkenaan sebab memalukan kerajaan.