Perdana Menteri berkata, walau bagaimanapun proses mengurangkan hutang negara itu masih dijalankan.

“Kita sudah berjaya mendapatkan semula wang yang hilang, yang disimpan oleh Singapura. Wang itu juga membantu mengurangkan hutang.

“Kita juga sedang berusaha untuk mengurangkan nilai kontrak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), jika tidak teruskan projek itu, kita perlu membayar jumlah pampasan yang tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Dr. Mahathir memberitahu, jumlah hutang negara sekarang tidak lagi menjejaskan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membangunkan negara.

“Hutang negara sudah berkurangan, jadi sekarang kita hampir sampai tahap tidak lagi menjejaskan kita mentadbir dan membangunkan negara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai status hutang negara selain membangkitkan perbezaan angka RM1 trilion yang disebut PH sebaik mengambil alih pentadbiran dengan RM686 juta yang di­nyatakan dalam beberapa la­poran kerajaan.