Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, Tabung Haji juga akan membuat pengumuman mengenai pembayaran hibah dalam masa terdekat setelah jemaah menteri membuat keputusan.

"Saya akan jelaskan perkara ini selepas mesyuarat jemaah menteri memutuskannya. Tetapi hakikatnya yang diketahui umum ialah terdapat pencurian oleh pengurusan Tabung Haji yang banyak.

"Sudah tentu menjejaskan kebolehan kita memberi pulangan kepada penyumbang Tabung Haji," katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai isu-isu Tabung Haji termasuk mengenai pembayaran hibah.

Perdana Menteri sebelum itu mengulangi pendirian kerajaan belum berhasrat mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), dan hanya sedia berbuat demikian apabila beberapa tindakan telah diambil termasuk tiada lagi kemungkinan kerajaan disaman.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanyakan mengenai CEP. - UTUSAN ONLINE