Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan BN membuat keputusan berkenaan kerana tidak mampu menanggung kos baik pulih bangunan pejabat setinggi 28 tingkat di kawasan Wan Chai, Hong Kong itu berjumlah RM300 juta.

Guan Eng malah mendedahkan BN mahu menjual bangunan berkenaan dengan harga RM1.1 bilion secara rundingan terus kepada sebuah syarikat dari Malaysia.

"Ini bukan kali pertama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan perkara ini malah beliau terus berulang kali perkatakannya. Sama ada dia lupa atau sengaja lupa keputusan menjual bangunan ini dibuat oleh BN.

"Walaupun kontrak sudah pun dimeterai tetapi apabila kita (Pakatan Harapan) ambil alih tampuk pemerintahan negara, kita rasa boleh dapat harga yang lebih munasabah menerusi tender terbuka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Najib menegaskan BN di bawah pentadbirannya tidak berhasrat mahu menjual Malaysia Building sebaliknya hanya membangunkan bangunan berkenaan.

Kata Najib, pada asasnya beliau tidak menyokong penjualan aset berkenaan kerana perkara itu akan memberi kesan kepada kebolehan menjana nilai dan pendapatan. - UTUSAN ONLINE