Pekara itu ditegaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menjelaskan, konteks jihad itu bukan sama sekali mengisytiharkan perang terhadap mana-mana kumpulan kaum atau agama lain di negara ini.

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI 

‘‘Jihad itu perjuangan, ia tiada kaitan dengan perang. Segelintir orang ingat perang menentang pihak lain. Bukan, jihad adalah perjuangan. Perjuangan dalam ekonomi dan pendidikan.

‘‘Misalnya ketika saya menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengumumkan jihad menentang orang tengah, tapi bukannya tembak sampai mati,’’ katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Menteri Pendidikan pernah menggunakan istilah jihad.

‘‘Beliau mengisytiharkan juga mengenai jihad pendidikan, sekarang tak tahu lah mungkin beliau anggap jihad itu ekstrem ke apa, tak pasti,’’ katanya.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan Ismail Sabri berkata, perjuangan Pas dan UMNO merupakan jihad untuk menum­bangkan kerajaan anti-Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Susulan itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Naib Presiden UMNO itu supaya menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh 24 jam dan sekiranya gagal, beliau akan menggesa polis mengambil tindakan. 

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, pengiktirafan ter­hadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menerusi perarakan dalam Hari Wanita baru-baru ini antara perkara yang telah menggores sensitiviti orang Islam.

‘‘Dalam Islam sangat jelas hubungan sejenis adalah salah tetapi perkara ini dibenarkan berlaku dalam perarakan tersebut, malah Kabinet pernah membincangkan mengenai isu tandas yang akan digunakan oleh golongan LGBT.

‘‘Sebelum ini tak pernah pun timbul isu ini. Isu ini menghina Islam, selain hina Nabi Muhammad. Mungkin mereka anggap dilindungi,’’ katanya ketika diminta mengulas sama ada kerajaan PH anti-Islam.