Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, hal itu kerana sudah beberapa kali Kor Ming ‘menghalalkan’ perkara yang dalam pertimbangan mahkamah dibangkitkan di dalam dewan walaupun ia jelas bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36 (2).

“Jelas sekali Kor Ming telah membenarkan subjudis terhadap pertimbangan mahkamah. Ini bukan sahaja mencemar kemuliaan institusi Parlimen (legislature) malah turut masuk campur dan mencemarkan institusi kehakiman negara (judiciary).

“Kepada Kor Ming, janganlah berselindung serta bersikap angkuh dengan jawatan serta jubah yang dipakai,” kata beliau menerusi kenyataan dalam laman Facebok rasminya di sini hari ini.

Pertikaian antara Khairy dan Kor Ming bermula apabila Ahli Parlimen Rembau itu melakukan ‘usikan’ dengan menggunakan perkataan ‘Taliban’ ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi tadi.

Usikan itu bagaimanapun tidak dapat diterima Kor Ming dan menyebabkannya marah sehingga menggesa Khairy yang telah menarik balik kenyataan tersebut melakukan permohonan maaf kepada Parlimen.

Melihat kepada gesaan tersebut, Khairy memberi peringatan yang perkataan Taliban menjadi hangat kerana telah dimulakan oleh Kor Ming sendiri.

Bahkan, Khairy menegaskan Kor Ming pernah menuduh kerjasama UMNO dan Pas boleh menyebabkan permusuhan agama ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands seperti yang dilaporkan oleh akhbar Oriental Dailya pada 27 Januari lalu.

“Selepas itu, pada 8 Mac 2019, ketika Kor Ming membuat lawatan ke pasar pagi di Aulong, Taiping bersempena Hari Wanita Sedunia, beliau telah mengeluarkan kenyataan sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berhasil, Malaysia mungkin menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.

“Kenyataan yang dibuat Kor Ming ini telah disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina seperti Sin Chew Daily dan China Press,” katanya. -UTUSAN ONLINE