Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan rumusan itu boleh membidas kerana demokrasi sentiasa diraikan dalam Malaysia Baharu.

Kata Ahli Parlimen Muar itu, rumusan eksekutif yang diserahkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April itu turut meliputi pandangan beberapa individu lain antaranya Peguam Negara, Tommy Thomas dan pakar perundangan dan perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi.

“Sambil kita berbeza pendapat, jangan kita terus menghukum dengan mengambil tindakan ke atas mereka hanya kerana tidak sependapat.

“Saya bagi contoh Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad yang juga Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN), orang kata keluarkan dia, itu tidak masuk akal kerana gerak kerjanya di institusi itu sangat baik,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jelas Syed Saddiq, Rahmat telah dilantik memegang jawatan tersebut pada hujung tahun lalu sedang membersihkan ISN selain melebarkan rangkaian institusi itu di universiti seluruh negara.

“Jangan kerana kita berbeza pendapat pada satu perkara, terus kita ingin cepat menghukum. Saya akan pertahankan haknya walaupun tak setuju dengan pandangan beliau itu,” katanya.

Kelmarin, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi semalam mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom sambil mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh masyarakat.

Beliau bersama lapan rakannya mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Rumusan itu dilakukan oleh Rahmat yang juga Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Selain itu, dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi turut terlibat dalam kajian tersebut. - UTUSAN ONLINE