Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini selaras dengan peruntukan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1966 (Akta 59/1966) yang berkuat kuasa pada 9 Ogos 1965.

Selain itu, katanya, kerajaan memotong frasa ‘the States of Malaya’ kerana rujukan kepada negeri-negeri Tanah Melayu tidak lagi digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan memandangkan negeri-negeri tersebut merupakan entiti sendiri yang telah berintegrasi sebagai negeri komponen dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau malah memberitahu, kerajaan Pakatan Harapan turut memotong frasa ‘the Borneo States’ memandangkan frasa negeri-negeri Borneo telah digantikan dengan frasa negeri Sabah dan Sarawak di mana jua ia terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti mana yang telah dipinda oleh Akta 10 Perlembagaan (Pindaan) 1976 (Akta A354) dan Akta Perlembagaan (Pindaan) 1981 (Akta A514).

“Pada masa ini, rujukan kepada frasa ‘negeri-negeri Borneo’ tidak lagi digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Istilah ‘negeri-negeri Borneo’ digantikan dengan frasa negeri Sabah dan Sarawak pada masa itu sebagai pengemaskinian yang antara tujuannya adalah bagi mengelakkan anggapan bahawa Sabah dan Sarawak merupakan suatu provinsi dalam Indonesia.

“Sehubungan itu kedua-dua negeri tersebut dikenali dengan nama negeri Sabah dan Sarawak sahaja, dan bukannya negeri-negeri Borneo,” katanya sewaktu membuat bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. - UTUSAN ONLINE