Ketika ahli Parlimen terutamanya penyokong kerajaan dilihat ghairah inginkan penjelasan kementerian tentang proses permohonan warganegara, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) bangun bertanyakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman mengenai kepentingan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan mereka yang mahu menjadi warganegara.

"Saya hendak tanya, untuk menjadi warganegara ada beberapa syarat. Antara syaratnya ialah boleh berbahasa Melayu," katanya.

Celahan beliau tidak dapat dihabiskan apabila diganggu segelintir penyokong kerajaan sebelum Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta Mohd. Azis menggulung sesinya kerana telah melebihi masa yang ditetapkan.

Mohd. Azis bagaimanapun berkata kementerian akan meneliti perkara mengenai permohonan warganegara kerana menjadi warganegara merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh Malaysia.

"Kementerian perlu buat keputusan ini dengan teliti kerana ia merupakan anugerah tertinggi negara kita untuk memberi kewarganegaraan. Ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya," katanya.

Shahidan mencelah menyatakan sokongannya kepada kata-kata Mohd. Azis.-UTUSAN ONLINE