Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan PH kini terperangkap dengan taktik sendiri yang mengaburi mata rakyat menerusi perang persepsi termasuk meletakkan kegagalan mereka dengan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini merupakan kegagalan kali ketiga selepas usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom terhasil daripada permuafakatan pembangkang.

“Penolakan ini adalah atas dasar pindaan yang tidak menepati hasrat rakyat Sabah dan Sarawak yang mahukan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan,

“Inilah kuasa yang telah membuktikan semak dan imbang berjaya dilaksanakan dengan berkesan demi maruah rakyat. Kerajaan tidak boleh dibiarkan berdolak-dalik dengan janji dan manifesto mereka,” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Usaha kerajaan PH untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung gagal apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu tidak berjaya mendapat dua pertiga majoriti. - UTUSAN ONLINE