Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, buat masa ini kementerian belum membincangkan perkara tersebut.

“Kita akan bincang tapi di peringkat kementerian belum bincang secara menyeluruh lagi.

“Bagi kita sedikit masa untuk bincang perkara itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi semalam mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu.

Asheeq Ali dan lapan rakannya mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh masyarakat selain mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Rumusan itu dilakukan oleh Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

Selain itu, dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi turut terlibat dalam kajian tersebut. - UTUSAN ONLINE