MUSTAPA MOHAMED

Soalan itu ditanya sewaktu giliran bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersebut membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019.

Mungkin disebabkan gaya dan kandungan perbahasannya tidak ubah seperti seorang menteri Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) mencelah perbahasan Mustapa.

"Yang Berhormat bercakap cukup cantik, apakah Yang Berhormat telah dicadangkan untuk masuk Kabinet tidak lama lagi?" soal Shahidan.

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) kemudian mencadangkan Mustapa diberikan jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Spekulasi sebelum ini mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu merombak barisan Kabinetnya memandangkan ramai menteri yang dilantik tidak berpengalaman.

Mustapa yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Oktober 2018 merupakan antara nama besar yang dibawa menyertai komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut dan dipercayai bagi mengukuhkan kehadiran Bersatu dalam PH.

Mustapa pernah berada dalam Kabinet Dr. Mahathir sebagai Menteri Pembangunan Usahawan serta Menteri Kewangan II yang pertama ketika Malaysia berdepan Krisis Kewangan Asia kira-kira 20 tahun lalu.-UTUSAN ONLINE