Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan di bawah akta-akta sedia ada dilihat memadai.

Bagaimanapun katanya, peruntukan dalam Akta Hasutan akan diteliti dan ada cadangan untuk dimasukkan di bawah Kanun Keseksaan.

Tambahnya, apabila cadangan itu dibentangkan kepada jemaah menteri, kerajaan akan meneliti sama ada wajar peruntukan undang-undang menghina raja akan dipinda dan perkukuhkan lagi.

"Walapun ada usaha dibuat di peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk meneliti undang-undang yang sedia ada sama ada perlu diperkukuhkan lagi, setakat hari ini kita tidak lagi bincang keperluan sesuatu akta seperti di Thailand.

"Peringkat kita (kerajaan) belum difikirkan sesuai, tapi peruntukan dalam Akta Hasutan itu akan diteliti (untuk diperkukuhkan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ramli Mohd. Nor (BN-Cameron Highlands) yang mahu tahu adakah akan dirangka undang-undang mengekang penghinaan raja seperti di Thailand pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kata Muhyiddin, secara keseluruhannya sejak tahun 2012 hingga 29 Mac 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat 97 kes pembuli media sosial yang menghina raja-raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong dan daripada jumlah tersebut 11 individu telah dituduh di mahkamah.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai usaha untuk menangani tuduhan-tuduhan seperti anti-Islam dan anti-Melayu yang kerap ditujukan kepada kerajaan semasa, Muhyiddin memberitahu, kerajaan akan memantau dan tidak berdiam diri jika sebarang tuduhan dibuat khususnya sesama ahli politik boleh memudaratkan negara.

Baginya perbalahan sesama ahli politik adalah perkara biasa dan sekiranya mana-mana tuduhan yang dilemparkan itu dirasakan difitnah, tindakan undang-undang boleh diambil seperti menyaman. - UTUSAN ONLINE