Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, ini kerana sesi perbincangan pihak kementerian itu sebelum ini kurang mendapat penyertaan daripada anggota Dewan Rakyat.

"Sebelum ini kami mengalami, apabila kami panggil ahli-ahli Yang Berhormat, sangat rendah penyertaan, saya minta selepas ini bila kami umumkan perbincangan dengan orang ramai dan ahli-ahli Yang Berhormat, semua ambil penyertaan, kerana alam sekitar bukan terletak di bawah kementerian sahaja," katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Isnaraissah berharap perkara itu tidak akan berlaku lagi ketika pelbagai sesi perbincangan mengenai penggubalan Rang Undang-undang Perlindungan Alam Sekitar, diadakan kementerian itu.

"Kami jangkakan kami akan adakan (pertemuan) dengan pemegang taruh, bersama orang ramai, sebelum kami bentangkan di Parlimen, kami akan adakan perbincangan, kami harap pada waktu itu bila kami panggil Yang Berhormat sekalian untuk mencurahkan idea, harap dapat turut serta untuk bersama-sama memberikan idea, kita gubal satu undang-undang yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai sama ada Rang Undang-undang Perlindungan Alam Sekitar yang dicadangkan pada 2017 bakal menggantikan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. - BERNAMA