Beliau yang masih memegang jawatan Pengerusi PAC berkata, persoalan sama ada beliau akan menjadi anggota jawatankuasa itu juga sepatutnya tidak berbangkit.

Jelas beliau, anggota PAC akan ditentukan oleh jawatankuasa pemilih yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

“Takkan saya duduk lagi dalam PAC. Mengganti Pengerusi, maknanya saya keluar daripada PAC. Sangat jelas di situ.

“Takkan saya nak jadi ahli kot, tak payah,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat (AUN) Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan membawa usul Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr. Noraini Ahmad menggantikan Ronald.

Sementara itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, usul menggantikannya itu dijangka dibentangkan minggu depan.

Kata beliau, sepanjang mempengerusikan PAC sebanyak 30 mesyuarat telah diadakan dan mengendalikan tujuh isu.

“Sepanjang menjadi Pengerusi, saya pastikan mereka tidak mewakili parti tapi Parlimen. Tiada isu memihak atau memangsakan mana-mana pihak, kita lakukan siasatan dengan adil dan mengikut fakta,” katanya. - UTUSAN ONLINE