Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjelasan itu perlu dilakukan dalam wacana yang sihat bagi membolehkan empat ahli akademik dari tiga institusi pengajian tinggi (IPT) itu menjawab segala isu dibangkitkan.


Beliau yang juga Presiden PKR percaya penyelesaian terbaik boleh dicapai menerusi perbincangan walaupun kajian itu menyebabkan polemik beberapa pihak selepas didedahkan oleh sekumpulan aktivis muda itu dalam laman sosial Facebook.


“Kena ada wacana yang sihat, ada sesi soal jawab, biar ahli-ahli akademik itu jawab dan beri penjelasan.

“Tak apa, biar selesai dan bincang baik-baik,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.


Ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi kelmarin mendedahkan mengenai rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu.


Asheeq Ali dan lapan rakannya mempersoalkan mengapa kajian itu dijalankan secara sulit tanpa diketahui oleh masyarakat selain mendakwa hujah-hujah rumusan itu bersifat berat sebelah kerana hanya mempersoalkan sebab Majlis Raja-Raja perlu menolak perjanjian antarabangsa itu.

Rumusan itu dilakukan oleh Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.


Selain itu,dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi turut terlibat dalam kajian tersebut. - UTUSAN ONLINE