Bantuan bungkusan makanan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menziarahi mangsa-mangsa tersebut.

Asyraf Wajdi berkata, mangsa banjir terbabit tidak berpindah ke pusat pemindahan berdekatan walaupun halaman rumah mereka dinaiki air di antara 0.1 hingga 0.3 meter kelmarin.

Menurutnya, mereka mengambil risiko bertahan di dalam rumah berdasarkan pengalaman banjir setiap tahun iaitu air akan surut dengan pantas sekiranya hujan berhenti dalam tempoh beberapa jam.

"Alhamdulillah, syukur kerana persekitaran kediaman mereka sudah tidak digenangi air lagi hari ini tetapi saya menasihatkan mereka supaya berpindah sekiranya paras air sudah mencecah lantai rumah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Hari ini kita ziarah mereka sambil menyampaikan bantuan bungkusan barangan makanan bersama sukarelawan UMNO yang ditubuhkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan berkenaan sebelum melawat pusat pemindahan banjir SK Changgai dan Kompleks Sekolah Kamil malam ini.

Asyraf berkata, bantuan itu sekurang-kurangnya akan meringankan beban mereka yang kebanyakannya petani dan penoreh getah sepanjang musim banjir ini.

Antara barangan yang diagihkan itu ialah beras, biskut, gula, sardin, kopi, susu dan teh yang dianggar mencukupi untuk tempoh beberapa minggu.

Katanya, sumbangan itu juga akan diagihkan ke kawasan lain yang menghadapi masalah yang sama termasuk mereka yang terperangkap banjir apabila laluan keluar masuk kediaman mereka ditenggelami air.

"Sumbangan ini diusahakan oleh Biro Kebajikan UMNO Bahagian Pasir Puteh yang dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai yang diselaraskan supaya semua mangsa banjir menerima agihan yang sepatutnya," katanya - UTUSAN ONLINE