Saranan tersebut disuarakan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin sambil menyifatkan bahasa kebangsaan itu juga penting sebagai medium dalam mendidik masyarakat.

“Tidak dinafikan menjadi tanggungjawab saya sebagai penyanyi adalah sentiasa memastikan setiap lirik, tajuk lagu dan album menggunakan bahasa Melayu. Saya rasa memperkasakan bahasa Melayu ini sebenarnya tanggungjawab semua, bukan hanya penggiat sastera tapi

SITI NURHALIZA
SITI NURHALIZA 

peminat dan ikon negara.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana didampingi individu yang menitikberatkan penggunaan bahasa kebangsaan seperti kakak ipar saya, Rozi Abdul Razak. Beliau merupakan bekas wartawan Utusan Malaysia yang sangat meminati bidang sastera, jadi saya banyak merujuk kepadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat persembahan dalam majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 di Dewan Utusan di sini, semalam.

Pada majlis tersebut, ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu mendendangkan dua buah lagu berjudul Cindai dan Anta Permana yang memukau kira-kira 1,000 hadirin.

Jelas Siti Nurhaliza, judul lagu Anta Permana misalnya menggunakan bahasa Melayu klasik yang membawa maksud ‘tidak terhingga’.

“Ramai tanya ingat ia bahasa Arab atau slang ‘Ante nak pi mana?’ Tidak, ia bahasa Melayu klasik yang dicipta oleh pencipta muda Hael Husaini dan Ezra Kong,” katanya.