Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivarraajh berkata, nisbah enam pekerja atau tenaga buruh yang ditetapkan bagi setiap hektar pada masa ini adalah tidak mencukupi dalam meningkatkan produktiviti tenaga yang kompetitif lantas menjejaskan hasil pertanian.

“Nisbah itu seharusnya ditingkatkan kepada 12 buruh bagi setiap hektar kerana ia akan memberi nilai dalam menambah hasil pertanian dan perladangan yang lebih besar.

“Masalah kekurangan tenaga buruh di Cameron Highlands ketika ini memerlukan perhatian serius daripada kerajaan, kajian dan analisis perlu dilakukan pihak berwajib,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Cameron Highlands berharap kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya setelah negara berjaya merekodkan pe­ningkatan produktiviti buruh sebanyak 4.2 peratus bagi suku ketiga tahun lalu yang disumbangkan oleh empat sektor utama iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyatakan bahawa keseluruhan pencapaian tersebut memberangsangkan dan lebih tinggi da­ripada sasaran purata pertumbuhan tahunan sebanyak 3.7 pe­ratus yang ditetapkan di ba­wah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Sivarraajh berharap kerajaan supaya mengkaji semula nisbah pembahagian tenaga buruh bagi setiap hektar di seluruh negara khususnya di Cameron Highlands.-UTUSAN ONLINE