Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawanan, Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, pameran itu berlangsung dua hari yang dijadual berakhir esok namun berdasarkan sambutan itu, pihaknya yakin melepasi sasaran RM5 juta dalam masa dua hari ini.

"Semalam sahaja, potensi jualan SDSI adalah RM3.64 juta. Sebenarnya kita sasarkan RM5 juta dalam masa dua hari ini. Insya Allah kita percaya dapat tembusi sasaran itu," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Memperkasakan Usahawan Bumiputera (KUB) dan Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di TTC di sini hari ini.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Sebanyak 96 syarikat daripada Terengganu, Pahang dan Kelantan terlibat dalam pameran program SDSI kali ini.

Sebelum ini program serupa berlangsung di Lumut, Perak dan selepas di TTC ini, ia dijadual dilangsungkan di Sabah. - UTUSAN ONLINE