Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pasukan projek ECRL  bekerja rapat dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sejak setahun lalu untuk menambah baik jajaran dan reka bentuk projek bagi meminimumkan kesannya terhadap alam sekitar dan hidupan liar.

“Ini apabila projek ECRL disenaraikan sebagai antara projek-projek kejuruteraan dan pembinaan yang paling mencabar kerana sejumlah besar kawasan yang terlibat adalah tidak rata dan terpaksa menembusi rupa bumi Banjaran Titiwangsa yang berbukit-bukau serta hutan yang tebal.
 
“Memandangkan ECRL akan melalui beberapa kawasan hutan dan habitat hidupan liar,  amat penting untuk kita meneroka pelbagai cara untuk meminimumkan kesan terhadap alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Darwis berkata, oleh itu satu Pelan Pengurusan Hidupan Liar telah pun dirumus melalui kerjasama antara MRL, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),  pakar-pakar alam sekitar serta kontraktor utama, China Communications Construction Company Ltd (CCCC), untuk menjalankan pelbagai inisiatif yang mesra alam. - UTUSAN ONLINE