Perdana Menteri berkata, kemudahan itu boleh dimanfaatkan para penumpang yang terlibat dalam perjalanan panjang sehingga berjam-jam sekali gus menggunakan otot dan tubuh badan masing-masing.

“Saya baca dalam surat khabar dari Singapura ke New York ambil masa selama 17 jam. Bayangkan berapa banyak sukan boleh dilakukan dalam kapal terbang.

“Saya ingat supaya pesawat lebih besar pada masa akan datang supaya kita boleh buat futsal dalam kapal terbang, mereka tunggu sampai 17 jam, tak guna langsung otot-otot,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan di Bukit Jalil, di sini hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir turut melahirkan hasrat untuk menyaksikan sukan bola sepak negara mencapai kegemilangan seperti suatu ketika dahulu.

Kata beliau, perkara itu bukanlah suatu yang mustahil kerana pasukan bola sepak negara pernah mengalahkan pasukan Korea.

“Dulu Malaysia terkenal dengan kecekapan kita dalam Pestabola Merdeka. Orang Korea tak pandai main bola sepak, kita saja yang pandai. 

“Kita main bola sepak pakai but, mereka main berkaki ayam, tetapi sekarang yang berkaki ayam itu yang menjadi jaguh (bermain di Piala Dunia),” katanya. - UTUSAN ONLINE