Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, mereka (terutamanya DAP) tidak perlu menunjukkan diri sebagai pembangkang dalam kerajaan dengan menolak dasar-dasar kerajaan sedia ada.

Katanya yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, isu kuota matrikulasi dibincangkan dengan terperinci di peringkat Kabinet dan telah dipersetujui secara konsensus.

“Yang mengkritik Maszlee kena belajar, faham sejarah dan dinasihatkan janganlah menunjukkan diri sebagai pembangkang dalam kerajaan.

“Perkara ini dibincangkan dengan terperinci di peringkat Kabinet dan setakat ini, kerajaan secara konsensus tidak mempertikaikan pembahagian tempat dan peluang. 90 peratus untuk Melayu dan bumiputera kekal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA yang mengecam Maszlee dan menuntut permohonan maaf daripadanya kerana mendakwa telah mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman apabila mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih berbahasa Mandarin.

Maszlee dikatakan mengeluarkan kenyataan itu di hadapan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, baru-baru ini dan menyatakan kedua-dua perkara itu tidak boleh dilihat secara terpisah.

Tambah Mohd. Redzuan, umum mengetahui ada banyak lagi saluran pembelajaran yang membolehkan kemasukan pelajar-pelajar ke universiti awam.

Katanya, kenyataan Maszlee adalah suara dari Kabinet bagi memperjelaskan mengenai dasar Matrikulasi.

“Kenapa pemimpin-pemimpin dalam kerajaan perlu menyerang dasar kerajaan secara terbuka seolah-olah menampakkan tidak mahu sehaluan dengan kerajaan yang baru ditubuhkan?

“Ini kurang bijak dan ia akan mengundang persepsi yang bole melibatkan sokongan Melayu, bumiputera terhadap kerajaan Pakatan Harapan dan jurang perkauman akan lebih meluas,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE