Jurucakap Pilihan Raya Kecil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd Sabri Abdullah memberitahu, blogger terbabit telah diberi jaminan polis setelah selesai proses mengambil keterangan.

Ujarnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

"Siasatan terhadap blogger tersebut telah dijalankan di bawah Seksyen 147 dan 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sabri memberitahu, sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih yang bermula 16 Februari lalu sehingga hari ini, sebanyak 19 laporan polis diterima pihaknya.

Jelasnya, daripada jumlah itu sebanyak tiga kertas siasatan dibuka melibatkan satu kesalahan dibawah Sekyen 24 B (3) Akta Pilihan Raya 1954 iaitu bagi kesalahan memberi ceramah tanpa permit.

"Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 51 permit telah dikeluarkan IPD Kajang bagi menjalankan kempen politik. Permohonan itu membabitkan 32 permit dari parti politik Pakatan Harapan, Barisan Nasional (15) dan Parti Sosialis Malaysia (4).

"Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan agar parti-parti yang terlibat mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang PRK N.24 Semenyih dan dalam masa yang sama semua parti diingatkan untuk membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen," jelasnya. - UTUSAN ONLINE