Dia hilang punca pendapatan selepas kemalangan motosikal pada Disember tahun lalu yang menyebabkan bahu dan tangan kanannyacedera.

Akibatnya, ibu enam anak itu tidak dapat menjual sa­yur yang menjadi punca pendapatan utama untuk menyara empat anak berusia 28, 19, 17 dan lima tahun.

Anak lelaki sulungnya berusia 28 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) akal yang perlu dipantau sepanjang masa.

Dua anak perempuan lain pula sudah berkahwin.

Zaiton menyertai tanah ranca­ngan itu pada 1990 dan suaminya telah meninggal dunia pada 2011.

“Hidup kami sekeluarga kini susah. Bekalan air di rumah kami telah dipotong lapan bulan lalu kerana tidak dapat membayar tunggakan lebih RM900. Saya menumpang ihsan jiran-jiran untuk membantu.

“Anak keempat Puteri Noraishah Zolkofli, 19, terpaksa melupakan hasrat untuk me­lanjutkan pengajian ke universiti kerana kami tak ada duit,” katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya baru-baru ini.

Menurutnya, tiga percubaannya untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak berjaya disebabkan dia memiliki lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Saya hanya ambil lesen ini bagi memenuhi syarat mendapatkan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan bukan bermakna saya ada syarikat besar,” ujarnya.

Hidup Zaiton bertambah getir kerana dia adalah seorang daripada 100 peserta Felcra Rompin dekat sini yang kini berdepan situasi paling sukar dalam sejarah tanah rancangan itu ekoran pinjaman sara hidup sebanyak RM800 sebulan tidak lagi diterima sejak Ogos tahun lalu.

Para peserta itu kini hidup dalam keadaan terumbang-ambing memandangkan tanah rancangan itu masih dalam proses tanaman semula getah sejak Ogos 2015.

Sebelum ini semua 100 peserta itu menerima pinjaman sara hidup berkenaan sejak projek tanam semula dilakukan tetapi terhenti mulai Ogos tahun lalu.