Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UiTM adalah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau semasa memegang jawatan pentadbiran utama.

Jelasnya, jawatan itu termasuk Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSpace) dan jawatan-jawatan utama sebelumnya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

"Kementerian percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan UiTM ke tahap yang lebih tinggi," katanya, di sini malam ini.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan jelas kenyataan itu, berharap agar pelantikan berkenaan dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau kepada kecemerlangan UiTM dalam mencapai visi dan misi sebagai universiti komprehensif terunggul.

"Kementerian juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Emeritus Dr. Hassan Said atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UiTM mulai 1 Februari 2016 hingga 31 Januari 2019," katanya. - UTUSAN ONLINE