Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah menyelamatkan syarikat penerbangan tersebut daripada kerajaan juga hanya sebagai pilihan.

“Kerajaan tiada kapasiti memperuntukkan dana bagi menyelamatkan Malaysia Airlines Bhd. Ia hanya pilihan, tetapi tentunya kita ingin melihat apakah pilihan terbaik yang ada.

“Kita telah memperuntukkan wang yang banyak dalam tempoh lima tahun ini dan pada masa ini kita tiada kapasiti untuk berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan mahu memberi fokus pembangunan dan ekonomi kepada koridor uta­ra antara faktor wujudnya keperluan bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Selain itu menurutnya, kehadiran pelabur yang kini semakin meningkat juga menyebabkan pembinaan lapangan terbang tersebut diteruskan.
“Pembinaannya juga tidak akan memberi apa-apa kesan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), sebaliknya membantu menampung operasi sedia ada.

“Selepas ini, kita akan lihat lebih banyak pelabur datang. Ini sebahagian daripada kajian separuh penggal untuk mengimbangi pembangunan wilayah antara kawasan luar bandar dan bandar,” jelasnya.