Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof juga mahu semua pihak wajib menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang telah tertakluk dalam Perlembagaan.

Mujahid turut merakamkan penghargaan di atas kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam penahanan suspek yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.

“Saya juga mengucapkan tahniah di atas tindakan segera pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saya yakin PDRM akan menjalankan siasatan dengan adil dan saksama tanpa mengira latar belakang.

“Pastikan suspek didakwa mengikut akta yang telah tersedia ada agar perkara ini tidak berulang dan menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 68 tahun, hari ini bagi membantu siasatan susulan laporan polis di Batu Pahat, Johor berhubung kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aishah menerusi laman media sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, lelaki berkenaan ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh kira-kira pukul 11.30 pagi dan akan diserahkan kepada pihak polis Batu Pahat. - UTUSAN ONLINE