Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, buat masa ini pihaknya masih mengkaji keterangan-keterangan yang ada termasuk yang diberikan saksi-saksi yang telah dipanggil.

“Kita juga sedang menumpukan siasatan terhadap ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan menerima RM19 juta bagi menutup kes tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Azeez yang bersedia disiasat SPRM dan menafikan dakwaan yang mengatakan beliau menerima bayaran RM3 juta dan surat tuntutan daripada Konsortium Zenith Construction Sdn.Bhd. berhubung kerja-kerja rundingan berkaitan projek terowong bawah laut tersebut.

Abdul Azeez turut menafikan pernah berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif  Konsortium Zenith Construction, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan percaya namanya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi menjatuhkannya.

Ahli Parlimen Baling itu memberikan kenyataan itu  ketika ditemui dalam majlis Sembang Kopi O 3.0 di Universiti Malaya di sini malam tadi.

Semalam SPRM menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri berusia 37 tahun di ibu pejabat suruhanjaya itu  selepas dipercayai terlibat menerima wang bernilai RM19 juta bagi menutup siasatan kes terowong dasar laut tersebut.

Menurut sumber, suspek yang merupakan suami kepada seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipercayai menerima wang daripada syarikat pembinaan utama projek selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dilakukan SPRM.

Dakwa sumber lagi, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat antara Julai dan Ogos tahun lalu. - UTUSAN ONLINE