Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, lambakan warga asing mengundang kepada masalah monopoli pekerjaan, tempat tinggal, gejala sosial dan keselamatan.

Beliau berkata, hal sedemikian sering dibangkitkan oleh penduduk-penduduk asal kampung berkenaan setiap kali diadakan mesyuarat atau perjumpaan.

Bagaimanapun, menurut Rina, masalah itu juga telah dimaklumkan kepada pihak penguatkuasaan termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya rasa dari dulu lagi pasal lambakan warga asing ini. Bila ia sudah berlanjutan, ada juga isu mereka berkahwin dengan rakyat tempatan dan ia menjadi rentetan.

“Bagaimanapun, saya percaya pihak kerajaan pun tengah mengenal pasti supaya lambakan warga asing sepatutnya dikawal. Mereka ini (warga asing) sepatutnya hanya dalam industri atau sektor tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan bantuan kepada 50 asnaf Kampung Baru di Madrasah Rajaiyah di sini hari ini.

Setiap penerima menerima barangan keperluan asas dan wang tunai.-UTUSAN ONLINE