Dalam masa yang sama, Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan hasutan berunsur kebencian yang disebarkan melalui pihak tidak bertanggungjawab termasuk menggunakan alasan kebencian terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

Jelas beliau, Seri Paduka bertitah, tiada agama yang mendorong penganutnya untuk mengamalkan sebarang bentuk keganasan terhadap individu lain.

‘‘Seri Paduka juga menasihatkan supaya rakyat Malaysia menghormati perasaan dan memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam mengharungi ujian ini,’’ katanya menerusi kenyataan Istana Negara di sini hari ini.

Muhammad Haziq, 17, merupakan seorang daripada 50 mangsa yang maut dalam kejadian tragis semasa solat Jumaat di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood, Christchurch, minggu lalu.

Muhammad Haziq merupakan anak kedua Mohd. Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor manakala seorang lagi anaknya, Mohd. Hariz terselamat.

Sementara itu, Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan terutamanya kepada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof atas perhatian yang diberikan dalam mengendali insiden berkenaan.

Katanya, Seri Paduka bertitah ia termasuklah tindakan menghantar pegawai kanan dari Kementerian Luar dan pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington untuk berada di Christchurch bagi menghulurkan bantuan sewajarnya.