Kebanyakan daripada mereka yang sudah lama berkhidmat di terminal tersebut berasa ter­aniaya dengan tindakan drastik diambil pihak pengurusan Me­laka Sentral tersebut.

Wakil pekerja kaunter Mohd. Marzuki Md. Yusuf, 37, membe­ritahu surat arahan mengosongkan kaunter diterima mereka baru-baru ini dan sangat mengejutkan kerana notis tersebut sangat pendek.

“Melalui surat arahan itu, kami diminta mengosongkan kaunter sebelum 28 Februari ini kerana sistem baharu berkenaan akan mula dilaksanakan pada 1 Mac.

“Walau bagaimanapun, tiada sebarang perbincangan mengenai pampasan atau tawaran kerja lain diberikan kepada semua pekerja kaunter di terminal ini dan kami bakal kehilangan sumber pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Beliau bersama kira-kira 20 pekerja kaunter lain ditemui Utusan Malaysia selepas membuat aduan mengenai perkara tersebut di Pejabat Tenaga Kerja di Ayer Keroh di sini kelmarin.

Jelas Mohd. Marzuki, apa yang lebih mengejutkan, ada pihak memberitahu bahawa pelaksanaan sistem baharu oleh syarikat NSS IT Solution Sdn. Bhd. itu tidak akan melibatkan kakitangan lama sebaliknya menggunakan pekerja baharu sepenuhnya.

“Kenapa kami tidak diberi peluang untuk bekerja, kenapa perlu ambil kakitangan baharu sedangkan kami yang sudah lama bekerja di sini akan hilang kerja. Ini tidak wajar dan merupakan satu penganiayaan.

“Kalau hilang kerja, bagaimana kami hendak dapat pendapatan untuk menyara diri dan keluarga,?” katanya.

Tambah Mohd. Marzuki, pihak berkenaan perlu mengkaji terlebih dahulu kese­suai­an pelaksanaan sistem baharu itu kerana bakal menyebabkan ramai orang kehilangan kerja.

“Mereka kata ada ba­nyak peluang kerja dan minta kami memohon, tetapi difahamkan sudah ada pekerja baharu yang mendapat surat tawaran dan mereka tidak mahu menggunakan khidmat kakitangan lama. Jadi untuk apa kami mohon benda yang tidak ada,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beliau akan mengkaji semula terma perjanjian membabitkan kedua-dua pihak selain mendapatkan maklumat daripada pihak terlibat.

“Kami akan mengadakan pertemuan bersama wakil Melaka Sentral dan kerani berkenaan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku antara mereka bagi mendapatkan maklumat terperinci memandangkan kerani ini bekerja di bawah pihak majikan masing-masing,” katanya.