Dalam keja­dian kira-kira pu­kul 6 petang itu, mang­sa, Muham­mad Aril Shahputra Abdullah dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika meman­cing bersendirian di tebing sungai tersebut.

Menurut ibu mangsa, Nor Haliza Shafie, 33, dia bersama suami, Syamsul Ariffin, 32, serta tiga anaknya dan dua lagi saudara ke sungai tersebut untuk memancing dengan menaiki empat motosikal kira-kira pukul 1 petang.

“Selepas sejam memancing kami semua pergi duduk berehat di atas batu penghadang ombak yang terletak tidak jauh dari sungai (tempat memancing).

“Muhammad Aril Shahputra pun ikut sekali namun saya terlepas pandang dan hanya menyedari dia tidak lagi bersama kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Lintah, Lepai di sini hari ini.

Nor Haliza berkata, dia sekeluarga kemudian mencari mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu di merata tempat namun gagal sehingga mereka terpaksa meminta bantuan penduduk kampung.

“Penduduk kampung yang mencarinya di sungai akhirnya berjaya menemukan anak saya di dasar su­ngai dalam keada­an tidak sedarkan diri pada kira-kira pukul 7 petang semalam,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superin­tenden Muhamad Halim Yatim berkata, mangsa yang dikatakan masih mempunyai denyutan nadi terus dikejarkan ke Bilik Kecemasan Hospital Yan menaiki jentera Emergency Medical Rescue Service (EMRS) milik pasukan bomba sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

“Mangsa yang tiba di HSB kira-kira pukul 7.50 malam tadi bagaimanapun disahkan meninggal dunia,” katanya.