Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Pasir Puteh, Zainal Abdul Rahman berkata, jalan di kilometer 5 Selising-Kok Lanas (D136) ditutup kepada semua kenderaan sejak pukul 4.15 petang semalam apabila digenangi air sedalam 0.65 meter terutama di sekitar Kampung Bukit Merbau .

Menurutnya, tiada jalan alternatif bagi laluan ini untuk ke Kok Lanas atau Ketereh dan pengguna jalan raya dinasihatkan tidak meredah laluan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Bermula pada pukul 6 petang semalam laluan Kota Bharu-Terengganu (FT003) ditutup kepada kenderaan ringan apabila lokasi di Kampung Banggol Tiga Daerah, dekat sini digenangi air sedalam 0.65 selain arus deras.

“Kesemua kawasan yang berbahaya untuk digunakan sudah dipasangkan papan tanda amaran. Pengguna perlu mematuhinya. Jalan utama ke Bachok melalui Jelor juga sudah dilimpahi air sungai berdekatan. Kebanyakan penduduk sekitar telah menyelamatkan kenderaan masing-masing ke tempat yang selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan pengguna dari Cherang Ruku menggunakan jalan baru Tok Bali- Kampung Gong Kulim untuk ke pusat bandar Pasir Puteh bermula awal pagi ini apabila paras air di sekitar Sungai Rasau dikatakan meningkat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pasir Puteh, Mohd Anis Hussin menasihatkan penduduk di kawasan rendah akur terhadap arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berdekatan dan tidak mengambil keputusan pada saat akhir.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 84 keluarga ditempatkan di tiga PSS menerusi kerja memindahkan mangsa banjir bermula sejak 12.30 tengah hari semalam hingga 9.50 malam tadi.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai kini menampung 186 mangsa banjir daripada 57 keluarga dari Kampung Darang Buaya dan Kampung Batu Hitam,” katanya.

Sementara itu, di Bachok, sejumlah 91 keluarga yang membabitkan 317 mangsa banjir dari Kampung Mak Lipah, Kampung Tasek, Kampung Pak Badol, Kampung Mahligai, Kampung Pelunggol, Kampung Pak Koja dan Kampung Lubuk Nibong ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pak Badol sejak tengah hari semalam - UTUSAN ONLINE